Mencipta fenomena hingga digosip menjalin cinta di alam realiti, Neelofa dan Fattah Amin mungkin kembali berganding dalam projek terbaharu Astro.
Ketika diajukan perkara itu, Neelofa yang digandingkan dengan Fattah dalam drama Suri Hati Mr Pilot (SHMP), mengakui tahu mengenai perancangan itu.
"Saya memang sentiasa akan profesional ketika bekerja. Tapi saya belum dapat mengesahkan dengan lanjut tawaran itu. Takut ada perubahan," katanya kepada BH Online.
Neelofa berkata, kesan daripada penerimaan peminat terhadap SHMP, beliau teruja untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.
"Baru-baru ini, saya menonton semula episod keempat drama itu. Kebetulan ada masa senggang, saya terdetik menonton episod itu semula.
"Saya sebenarnya rindu detik penggambaran itu. Pada waktu itu, saya tidak perlu memikirkan tekanan...saya hanya fikirkan cara untuk mewarnakan watak Warda.
"Selepas berehat lama dalam dunia lakonan, penerimaan peminat buat saya mahu berlakon lagi selepas ini," katanya yang sedang menunaikan ibadat umrah di Tanah Suci.
Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-29 itu menganggap kejayaan SHMP adalah detik terindah dalam kerjaya seninya.
Mengenai kontroversi yang melanda, Neelofa berkongsi kerisauan ibunya yang bertanya sendiri bagaimana dia menghadapi situasi itu.
"Saya cakap kepada mama, biarlah saya nikmati kegembiraan ini sementara masih ada.
"Saya gembira dengan sokongan peminat, pengiktirafan dan perhatian yang diraih. Saya rasa dihargai dan sokongan peminat buat saya mahu berikan yang lebih baik kepada mereka.
"Ini termasuk apa saja aktiviti yang boleh mendekatkan diri saya dengan peminat," katanya.
0 comments:
Post a Comment